Recent Posts

Thursday, October 27, 2005

Memperkasakan Sekolah Kebangsaan Tanggungjawab Bersama

Dewasa ini kerajaan berusaha meningkatkan lagi kualiti Sekolah Kebangsaan sejajar dengan kehendak-kehendak pendidikan semasa yang memberi tumpuan ke arah memperkasakan Sekolah Kebangsaan. Memperkasakan Sekolah Kebangsaan bermaksud menjadikan sekolah-sekolah kebangsaan sebagai satu institusi pendidikan yang menjadi pilihan utama ibu bapa bagi menghantar anak-anak mereka. Sekolah Kebangsaan yang perkasa ialah Sekolah Kebangsaan yang berkualiti dan mampu untuk melahirkan pelajar-pelajar yang seimbang dari aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani.

Usaha memperkasakan Sekolah Kebangsaan ini merupakan satu keutamaan memandangkan sekolah merupakan tempat melahirkan insan-insan yang cemerlang yang akan menjadi generasi pewaris kemajuan negara pada masa hadapan. Keperkasaan Sekolah Kebangsaan juga akan memastikan bahawa setiap pelajar mendapat manfaat sepenuhnya daripada kegiatan-kegiatan kurikulum, ko-kurikulum, program kebajikan dan khidmat sokongan sepanjang masa persekolahan mereka.

Peranan dan tanggungjawab memperkasakan Sekolah Kebangsaan adalah tanggungjawab bersama dan bukannya tergalas di bahu kerajaan dan guru-guru semata-mata. Malahan para ibu bapa dan juga anak-anak pelajar sendiri perlu untuk bersama-sama berpadu tenaga bagi memastikan aspirasi yang murni ini tercapai.

Pada hari ini misalnya para pelajar cemerlang secara tidak langsung telah menyahut aspirasi kerajaan bagi memperkasakan Sekolah Kebangsaan melalui pencapaian yang cemerlang dalam bidang akademik. Kecemerlangan dalam bidang akademik merupakan satu teras yang penting dalam memperkasakan Sekolah Kebangsaan.

Para guru juga sentiasa komited dan berusaha bagi menjayakan cita-cita untuk memperkasakan Sekolah Kebangsaan. Para guru sentiasa berusaha menyampaikan ilmu pengetahuan kepada anak-anak kita melalui pengajaran yang berkualiti. Anak-anak kita diajar untuk menguasai 3 kemahiran asas iaitu membaca, menulis dan mengira atau 3M. Kemahiran asas ini penting bagi memastikan para pelajar dapat menguasai semua mata pelajaran yang diajar di sekolah. Kemahiran 3M juga yang akan menjadi penentu pencapaian pelajar-pelajar di dalam peperiksaan UPSR. Kita bukan sahaja ingin melihat peningkatan bilangan pelajar yang mendapat 5A tetapi kita juga ingin melihat lebih ramai pelajar-pelajar lulus dalam peperiksaan UPSR. Oleh itu para guru perlu berusaha untuk memastikan bahawa anak-anak pelajar dapat menguasai sepenuhnya kemahiran 3M. Laporan di dalam akhbar Utusan Melayu yang menyatakan bahawa terdapat lebih 100,000 pelajar yang masih tidak tahu membaca, menulis dan mengira merupakan satu situasi yang membimbangkan. Usaha untuk memperkasakan Sekolah Kebangsaan tidak boleh tergugat atau tergendala kerana masalah seperti ini.

Dalam masa yang sama, para ibu bapa juga perlu untuk memainkan peranan yang sama penting. Ini kerana tugas mendidik anak-anak bukan terletak di bahu para guru semata-mata. Sokongan dan dokongan daripada para ibu bapa juga sangat penting bagi memastikan anak-anak kita berjaya di dalam bidang akademik. Setakat yang termampu berilah sokongan apabila diminta untuk menghulurkan wang bagi menjayakan program kecemerlangan yang dianjurkan oleh pihak sekolah. Ambil sedikit masa untuk menyemak buku-buku latihan dan kerja sekolah anak-anak. Dengan cara ini hubungan dengan anak-anak tentunya akan menjadi lebih erat lagi. Selain itu ibu bapa perlu faham bahawa para guru di sekolah sedaya-upaya ingin memastikan setiap seorang daripada anak-anak kita mencapai kejayaan yang cemerlang. Oleh itu berilah peluang kepada guru untuk mendidik anak-anak dan redhalah sekiranya anak-anak kita dikenakan hukuman kerana semua ini dilaksanakan bagi mendidik anak-anak. Jangan cepat melatah sekiranya anak-anak kita pulang ke rumah dan memberitahu bahawa guru telah mendenda beliau di sekolah. Selidiklah dahulu. Tentu ada sebabnya bila anak-anak didenda. Mungkin kerana mereka malas menyiapkan kerja sekolah. Ataupun mungkin kerana ada anak melanggar peraturan dan disiplin sekolah. Para guru terutamanya guru-guru alaf baru ini sebenarnya sentiasa rasional dan mempunyai pertimbangan dalam mendidik pelajar-pelajar mereka.

Sebagai kesimpulan, semua pihak perlu bersama-sama berganding bahu bagi memastikan agenda memperkasakan Sekolah Kebangsaan akan menjadi satu kenyataan.

1 comments:

lewisalaxander8043 said...

I read over your blog, and i found it inquisitive, you may find My Blog interesting. My blog is just about my day to day life, as a park ranger. So please Click Here To Read My Blog

Post a Comment