Recent Posts

Saturday, June 11, 2005

Budi Bahasa Budaya Kita

Saya selalu berurusan dengan Pejabat Pos Cawangan Seberang Jaya. Pejabat Pos ini sentiasa dikunjungi pelanggan memandangkan ia terletak di Bandar Sunway Seberang Jaya iaitu sebuah kawasan tumpuan orang ramai untuk menjalankan pelbagai urusan harian. Perkara yang paling menarik dan menjadi ingatan setiap pelanggan yang datang berurusan di kaunter Pejabat Pos Seberang Jaya ialah keramahan dan sikap budi bahasa salah seorang daripada kakitangan kaunter Pos Malaysia Berhad di situ. Sungguhpun terpaksa melayani pelbagai karenah pelanggan yang ramai namun beliau tetap melemparkan senyuman dan melayani pelanggan dengan baik.
Budi bahasa merupakan budaya rakyat Malaysia. Budaya ini menjadi satu imej yang baik untuk Malaysia di mata dunia. Menurut Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, cita-cita Malaysia untuk mencapai taraf negara maju sangat bergantung kepada pembangunan nilai dan budaya yang betul. Nilai-nilai seperti ketulusan, kejujuran, integriti, adil, beramanah dan akauntabiliti budaya dan sistem nilai itulah yang sebenarnya menjadi kayu ukur dan mercu tanda sebuah negara maju.
Pada hemat saya, dalam konteks budaya budi bahasa, kemajuan beerti sebuah masyarakat yang lebih bertamadun. Dalam sesebuah masyarakat yang bertamadun sudah tentu mempunyai kemajuan yang seimbang baik dari segi pembangunan fizikal dan insan. Kemudahan kelas pertama perlu sentiasa diiringi dengan mentaliti kelas pertama.
Peralihan paradigma kakitangan Pos Malaysia Berhad selepas proses penswastaan syarikat komunikasi fizikal ini sangat dialu-alukan memandangkan kerajaan telah memberikan kepercayaan kepada entiti ini untuk menjadi sebuah entiti swasta. Kepercayaan kerajaan kepada Pos Malaysia Berhad telah berjaya diterjemahkan melalui kakitangan yang berbudi bahasa dan cekap bekerja. Semoga budaya dan amalan ini akan terus berkekalan.

1 comments:

Halian said...

Pandangan yang mengatakan bahawa kakitangan Kerajaan SAHAJA sebagai lembab, sombong dan tidak cekap adalah tidak betul. Ada juga kakitangan syarikat swasta yang mempunyai sikap yang sama (berdasarkan pengalaman beratur di laluan 'ekspres' selama 45 minit untuk membayar bil telefon bimbit di sebuah syarikat telekomunikasi terbesar di Malaysia).

Tahnhiah, POS Malaysia!

Post a Comment